BERITA SEMASADALAM NEGERI

Aidilfitri: Food4U tetap agih makanan buat gelandangan

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Aidilfitri ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Food4U tetap meneruskan usaha menyediakan makanan buat gelandangan.

Pengasasnya, Tony Lian Kam Leong atau lebih mesra disapa Uncle Tony berkata, pihaknya tidak pernah culas menggalas tanggungjawab tersebut.

Uncle Tony aktif dalam membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur meskipun telah mencecah usia 75 tahun.

“Pada Hari Raya Aidilfitri ini, kami akan mengagihkan makanan istimewa di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit buat golongan gelandangan dan yang memerlukan.

“Kita mahu mereka juga menikmati musim perayaan ini seperti umat Islam yang lain,” kata Uncle Tony ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Menurut beliau, dalam dunia yang penuh cabaran masa kini, kita mungkin tidak mampu menghilangkan segala kesengsaraan, tetapi kita boleh memulakan langkah dengan suara penuh kasih sayang, hati yang dipenuhi cinta dan tindakan kebaikan.

“Inilah semangat yang dibawa oleh Food4U, sebuah inisiatif yang berdedikasi membantu golongan kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur.

“Malah, sepanjang bulan Ramadan lalu, bilangan individu yang datang mendapatkan makanan percuma semakin meningkat.

Pusat Pembelajaran Komuniti di Chow Kit ini merupakan salah satu pusat yang mengendalikan agihan makanan yang berdaftar dengan Yayasan Kebajikan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Mereka hadir dengan rasa lapar, tetapi penuh kegembiraan menerima bungkusan makanan yang telah disediakan,” jelasnya.

Tambah beliau, setiap pek mengandungi makanan yang dimasak, kurma, sandwic, biskut, coklat, buah-buahan dan minuman adalah satu usaha kecil tetapi sangat bermakna dalam meringankan beban mereka.

“Food4U merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang dan sukarelawan yang terus menzahirkan belas ihsan tanpa mengira sempadan.

“Kebaikan tidak mengenal batas dan Ramadan ini menjadi saksi kepada indahnya kasih sayang yang dicurahkan melalui pemberian makanan dan kepedulian kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button