BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ramadan : Planworth santuni lebih 80 gelandangan, 151 pelajar SBJK

KEPRIHATINAN individu dan juga syarikat korporat yang menghulurkan sumbangan setiap kali tiba bulan Ramadan memberi makna yang cukup bernilai bagi golongan memerlukan di negara ini.

Bagi kumpulan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL), ketibaan bulan puasa pada setiap tahun disambut bukan sekadar bulan ibadah tetapi membawa keceriaan untuk mereka berkumpul dan bertemu bagai satu keluarga.

Dalam kesempitan menjalani kehidupan di tengah-tengah kota, sekecil-kecil bentuk bantuan tetap menjadi rahmah yang tidak ternilai, apatah lagi dalam persediaan menyambut Aidilfitri.

Bagi menyantuni golongan gelandangan di ibu kota sempena Ramadan tahun ini, syarikat Plantworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) baru-baru ini menyampaikan pelbagai sumbangan barangan keperluan asas, makanan dan duit raya melalui kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Program pada 19 Mac lalu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan syarikat pembiayaan tanpa cagaran tersebut membantu komuniti kurang bernasib baik sepanjang Ramadan.

Sumbangan disampaikan kepada wakil Yayasan Kebajikan Negara (YKN) selaku agensi yang dipertanggungjawab menguruskan operasi PTGKL di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan.

Elaine Lim (depan dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Kelab Kebajikan Sekolah Jalinan Kasih.

Selain menyantuni gelandangan, Planworth turut menghulurkan bantuan kepada 151 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dalam satu majlis berbuka puasa khas pada 13 Mac.

Para pelajar menerima sumbangan duit raya serta peralatan sekolah sebagai dorongan untuk mereka meneruskan sesi pembelajaran dengan lebih selesa.

Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim berkata, program itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong masyarakat dan menekankan kepentingan berkongsi rezeki.

“Kami bukan hanya mahu berkembang dalam sektor perniagaan tetapi juga membangun bersama masyarakat.

“Dengan memberikan sokongan, kami berharap dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik serta menginspirasikan golongan muda untuk mencapai impian mereka,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Kempen bertemakan ‘Lebih Daripada Pembiayaan, Berkongsi Keberkatan Ramadan’ itu dianjurkan dengan kerjasama Kelab Kebajikan Sosial Planworth melibatkan penyertaan aktif kakitangan syarikat yang turun padang sebagai sukarelawan.

Sebahagian daripada kakitangan Planworth, kakitangan dan murid SBJK yang hadir pada majlis sumbangan baru-baru ini.

Bagi menjayakan inisiatif ini, Planworth memperuntukkan lebih RM35,000 sumbangan wang tunai, makanan, peralatan sekolah, kelengkapan barangan harian serta duit raya kepada penerima sumbangan.

Sehingga kini, Planworth telah menyalurkan melebihi RM2.5 bilion dalam mengukuhkan peranannya sebagai ‘warga korporat’ yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button