BERITA SEMASA

Kawalan sempadan Malaysia-Thailand dipertingkat susulan situasi Selatan Thailand

BUKIT KAYU HITAM – Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand akan terus dipertingkat susulan perkembangan dan insiden yang berlaku di Selatan Thailand.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara, selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada merebak ke kawasan sempadan Malaysia.

Menurutnya, kawalan bukan sahaja memberi tumpuan kepada kegiatan jenayah dan penyeludupan, malah mengambil kira perkembangan semasa di Selatan Thailand.

“Jadi kita nak pastikan supaya negara kita ini berada dalam keadaan yang terus selamat dan dapat menghindar perkara-perkara yang mungkin tidak diingini,” katanya.

Khaled
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Rezeki mengadakan lawatan kerja ke Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS), Kem Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS), Kem Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, 5 RS yang diwujudkan khusus bagi melaksanakan tanggungjawab menjaga sempadan negara memainkan peranan penting dalam memastikan kedaulatan Malaysia, khususnya di sempadan Malaysia-Thailand, sentiasa terpelihara.

Katanya, kawalan sempadan dilaksanakan secara berterusan selama 24 jam sehari sepanjang tahun menerusi rondaan dan operasi yang turut dijalankan bersama agensi keselamatan lain.

Mengulas kekuatan anggota 5 RS, beliau berkata jumlah anggota di kem berkenaan ketika ini adalah mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab ditetapkan.

Keadaan itu mengambil kira operasi kawalan sempadan dari Perlis hingga Kelantan yang turut melibatkan beberapa kem Tentera Darat.

Menurutnya, operasi dilaksanakan secara bergilir-gilir oleh anggota dari beberapa kem termasuk di Gerik, Perak dan Kelantan bagi memastikan tahap keupayaan serta kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap tinggi.

“Pendekatan penugasan secara bergilir ini juga penting bagi memastikan anggota daripada pelbagai formasi dan kem Tentera Darat mempunyai pengalaman serta kompetensi dalam melaksanakan operasi kawalan sempadan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan menyediakan satu Nota Kabinet bagi menyegerakan peruntukan pembangunan Kem Bukit Kayu Hitam.

Antara yang akan dimasukkan dalam Nota Kabinet itu ialah pembangunan kem secara menyeluruh serta pembinaan 205 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Beliau berkata, cadangan pembinaan RKAT telah dikemukakan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan pihak kementerian meminta kerajaan menyegerakan kelulusan bagi membolehkan anggota yang telah berkeluarga tinggal dalam satu kawasan.

Dalam lawatan itu, Mohamed Khaled turut menerima taklimat berkaitan pembangunan kem serta operasi dan keselamatan sempadan.

Beliau kemudiannya meninjau 10 blok penginapan baharu di kem berkenaan yang mula dibina pada 20 Jun 2024 dan siap sepenuhnya pada 13 Februari 2026 dengan kos keseluruhan RM44.87 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button