BERITA SEMASA

Dewan A MAHA 2026 kembali beroperasi selepas insiden asap, bau kurang menyenangkan

SERDANG – Dewan Pameran A (Dewan A) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) kembali beroperasi dan disahkan selamat untuk kunjungan awam selepas insiden pengeluaran asap petang tadi.

Jawatankuasa Penganjur MAHA 2026 dalam satu kenyataan berkata, insiden berkenaan berlaku kira-kira jam 4.50 petang dan berjaya dikawal sepenuhnya hasil tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pasukan pengurusan keselamatan tapak.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan komprehensif dilakukan serta-merta selepas kejadian dan pihak berkuasa mengesahkan tiada ancaman keselamatan berterusan.

“Insiden teknikal tersebut telah diatasi sepenuhnya tanpa melibatkan implikasi struktur,” menurut kenyataan berkenaan.

Penganjur turut mengesahkan tiada kecederaan, kecemasan perubatan atau kemalangan jiwa dilaporkan susulan insiden terbabit.

Dewan Pameran A juga telah disahkan selamat dan dibuka semula untuk kunjungan awam berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum itu, tindakan pengosongan sementara dewan dilaksanakan sebagai langkah pencegahan standard mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan MAHA 2026 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung serta pempamer.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk terus hadir ke MAHA 2026 bersama keluarga dan rakan-rakan susulan pengesahan bahawa kawasan berkenaan selamat untuk dikunjungi.

Terdahulu tular video pengunjung diminta mengosongkan dewan tersebut selepas kemunculan asap dan bau yang kurang menyenangkan.

Susulan itu pihak bomba telah dipanggil untuk menyiasat insiden tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button