BERITA SEMASA

Armada BERSATU desak kerajaan guna aset udara kesan 55 rakyat Malaysia di Nepal

KUALA LUMPUR – Armada BERSATU Malaysia mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih agresif bagi mengesan dan menyelamatkan 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan banjir besar di Daerah Rasuwa, Nepal.

Ketua Penerangan Armada BERSATU, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya memandang serius perkembangan bencana banjir kilat dan aliran lumpur besar akibat limpahan Sungai Bhote Koshi yang melanda kawasan berkenaan.

Menurutnya, kemusnahan infrastruktur komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan tanah tinggi itu menyebabkan usaha menghubungi rakyat Malaysia terbabit berdepan kesukaran.

“Kami memandang serius pengesahan rasmi daripada Kementerian Luar (Wisma Putra) setakat tengah hari ini, yang menyatakan bahawa seramai 55 orang warganegara Malaysia kini disahkan terkesan dan gagal dihubungi di kawasan bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kematian membabitkan rakyat Malaysia disahkan, namun memahami kebimbangan keluarga yang masih menunggu khabar mengenai keselamatan waris masing-masing.

Sehubungan itu, Armada BERSATU menggesa kerajaan melalui Wisma Putra, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meningkatkan segera sinergi bantuan bersama pihak berkuasa Nepal.

“Ia termasuk menggerakkan aset logistik udara dan helikopter bagi mengesan kedudukan serta memindahkan kesemua 55 rakyat Malaysia yang terperangkap,” katanya.

Harris berkata, laluan darat dari Kathmandu ke Daerah Rasuwa dilaporkan terputus akibat runtuhan lebuh raya dan jambatan, sekali gus memerlukan pendekatan operasi menyelamat yang lebih agresif.

Pada masa sama, beliau menggesa Wisma Putra memastikan Bilik Operasi yang diaktifkan di Putrajaya menyalurkan perkembangan secara telus, berkala dan pantas kepada ahli keluarga rakyat Malaysia terbabit.

“Ke­bajikan, bekalan makanan dan keperluan perubatan pasca-pindahan bagi setiap mangsa yang berjaya diselamatkan mestilah menjadi keutamaan tertinggi konsular kita di Kathmandu,” katanya.

Armada BERSATU turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya keluarga mangsa yang terkorban serta kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu.

Dalam pada itu, pihaknya menyeru rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan keselamatan dan perlindungan 55 rakyat Malaysia terbabit serta berharap usaha menyelamat mereka dipermudahkan dan dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button