BERITA SEMASA

Malaysia guna saluran diplomatik tangani jerebu rentas sempadan

BANDAR SERI BEGAWAN – Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi menyampaikan kebimbangan kepada Indonesia berhubung jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk, khususnya di Sarawak.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu berkenaan dipandang serius dan langkah segera akan diambil melalui saluran diplomatik serta mekanisme serantau ASEAN.

Menurutnya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup akan mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Indonesia selain mengemukakan perkara itu kepada Sekretariat ASEAN.

“Malaysia akan menggunakan mekanisme ASEAN bagi memastikan Sekretariat ASEAN dapat mengurus urus setia bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha menangani punca kebakaran hutan yang menyumbang kepada pencemaran udara rentas sempadan.

“Surat itu diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN dalam tempoh sehari dua ini bagi membolehkan tindakan susulan dan penyelarasan pada peringkat serantau dilakukan segera,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27), di sini hari ini.

Mohamad berkata, mekanisme ASEAN dilihat sebagai pendekatan paling berkesan untuk membolehkan Malaysia dan Indonesia bekerjasama menangani isu kebakaran hutan serta jerebu rentas sempadan.

Sementara itu, keadaan jerebu di Sarawak semakin membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian meningkat ke paras sangat tidak sihat.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di stesen pemantau kualiti udara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencapai 242 setakat jam 6 pagi tadi.

Serian yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia antara kawasan yang terjejas akibat peningkatan jerebu berkenaan.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam, terutama golongan berisiko, selain menguatkan keperluan Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama bagi menangani kebakaran hutan dan pencemaran udara rentas sempadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button