BERITA SEMASA

Tiga beranak maut dirempuh lori Imigresen dikebumi dalam satu liang lahad

KAMPAR – Tiga beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, malam tadi.

Jenazah pesara tentera, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, dikebumikan kira-kira pukul 11 malam.

Bacaan talkin dan doa dipimpin Imam Masjid Jamek Kampung Air Hitam Labu, Yusaini Ariffin, lapor Kosmo! Online.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu tiba di pekarangan tanah perkuburan pada pukul 10.30 malam dengan menaiki van berasingan.

Sebelum itu, ketiga-tiga jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada pukul 8.20 malam.

Lebih 300 ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk kampung hadir memberikan penghormatan terakhir, dengan proses pengebumian berlangsung lancar.

BACA JUGA:
Identiti tiga sekeluarga maut dirempuh lori Imigresen dikenal pasti
Mangsa dirempuh ketika berada di kawasan selamat untuk melintas jalan – Polis KL
Imigresen serah siasatan kemalangan maut kepada polis
PM arah siasatan segera kemalangan tragis korbankan tiga sekeluarga
Tiga sekeluarga maut dilanggar lori Imigresen di simpang Maju Junction

Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, Shaik Mohd Firdaus yang sedang berjalan kaki maut selepas dirempuh lori JIM bersama dua anaknya dalam kemalangan yang turut membabitkan dua kenderaan lain.

Isterinya, Norhayati Razali, 55, yang turut terlibat dalam nahas berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Difahamkan, lori JIM berkenaan tidak membawa penumpang dan sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT), susulan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.

Lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon serta siren diaktifkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button