POLITIK

Kekalahan PH berpunca daripada ‘tsunami’ Melayu – Hassan

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu berpunca daripada kebangkitan gelombang ‘tsunami’ pengundi Melayu.

Memetik laporan BH Online, Hassan berkata, gelombang tersebut menyebabkan semua calon Melayu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Parti Amanah Negara (AMANAH) tewas.

“Saya melihat bahawa di Negeri Sembilan ini jelas iaitu dalam kalangan pengundi Melayu, nampaknya mereka telah memutuskan untuk menyokong kembali UMNO, Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN).

“Jadi, ini perkara yang PH perlu ambil tahu, satu kesedaran yang sudah jelas bermula daripada PRN Johor iaitu rakyat Melayu mereka mahukan undi Melayu ini jangan berpecah.

“Sebab mereka belajar dan mereka memperhatikan bagaimana masyarakat Cina mengundi dengan strategik. Mereka tak mengundi GERAKAN (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan MCA dalam beberapa pilihan raya yang lalu sehingga MCA tak ada tempat kecuali di Johor. Jadi, tumpuan penuh kepada sokongan kepada DAP,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan sampan sukarelawan skuad bencana dan minum pagi bersama-sama komuniti Flat Taman Molek, di sini hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, modal kempen yang dibawa PH mengenai prestasi ekonomi, tatakelola dan perancangan kerajaan dipimpin kerajaan PH Negeri Sembilan tidak menjadi perhatian atau keutamaan, sebaliknya ia menjadi isu kedua dan ketiga kerana apa yang penting adalah semua undi orang Melayu perlu tertumpu kepada satu blok sahaja supaya undi tidak berpecah.

“… Walaupun kempen kerajaan PH di peringkat negeri dan Pusat, Perdana Menteri hampir setiap hari kan (turun berkempen), tidak dapat melawan sentimen iaitu orang Melayu nak bersatu, kan? Jadi, dia tolak.

“Umpamanya laporan RCI Tabung Haji, bukan mereka tak anggap penting tapi dia tangguhkan dulu, yang penting dia nak tukar kerajaan,” katanya.

Hassan berkata, perkembangan itu menunjukkan kesedaran orang Melayu untuk tidak mahu lagi berpecah belah dalam keadaan banyak parti Melayu ketika ini.

Katanya, perkembangan itu wajar dihormati dan PH terutamanya PKR perlu sedar akan sokongan orang Melayu dan jika mahu menang pada pilihan raya akan datang perlu memenangi hati golongan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button