POLITIK

Abang Tok Mat yakin Rantau kekal milik BN, sasar majoriti lebih 13,000 undi

REMBAU – Abang kepada calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Azman Hasan menzahirkan keyakinan penuh bahawa penyandang kerusi itu akan terus diberi mandat oleh rakyat.

Azman, 79, berkata, kemenangan adiknya, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat bukan sekadar menjadi harapan keluarga, malah turut mewakili aspirasi sebahagian besar penduduk Rantau dan Parlimen Rembau yang mahukan kesinambungan kepimpinan berpengalaman.

tok mat
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika tiba di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rantau di SJK (C) Chung Hua, Rantau pagi tadi. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

“Saya harap Tok Mat menang dan itulah harapan orang Rantau serta Bahagian Rembau.

“DUN Rantau kini mempunyai lebih 34,000 pengundi, manakala Parlimen Rembau sekitar 147,000 pengundi.

“Dan Tok Mat sebagai pemimpin masa ini mungkin sepenggal lagi atau penggal terakhirnya. Harapan saya BN menang,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Rantau, di sini hari ini.

Menurutnya, meskipun Tok Mat kini memikul tanggungjawab besar sebagai Menteri Luar, beliau tetap memberikan perhatian terhadap pembangunan kawasan yang diwakilinya.

“Setakat ini saya bangga dengan apa yang beliau lakukan. Saya sentiasa mengikuti perkembangan kerjanya dan kami sering berbincang mengenai perkara yang dilakukannya.

“Insya-Allah, beliau sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan saya sentiasa menasihatinya supaya terus berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat,” katanya.

Azman turut yakin BN mampu memperoleh keputusan memberangsangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini dengan sasaran sekurang-kurangnya memenangi 19 daripada 25 kerusi yang dipertandingkan.

Mengulas mengenai majoriti kemenangan Tok Mat di Rantau, beliau berharap jumlah undi majoriti dapat ditingkatkan melepasi 13,000 undi berikutan pertambahan jumlah pengundi berdaftar.

“Dulu beliau menang dengan majoriti lebih 10,000 undi. Kali ini saya harap sekurang-kurangnya lebih 13,000 undi kerana pengundi semakin ramai,” katanya.

Beliau turut berharap DUN Rantau dijaga sebaiknya.

“Jagalah Rantau ini yang saya mulakan dahulu. Harapan saya Rantau ini terus dipimpin oleh orang Melayu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button