POLITIK

Nazri Kassim puji kelancaran pengundian, politik jangan putuskan persahabatan

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Ampangan, Datuk Nazri Kassim menyifatkan proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan King George V, di sini, berjalan lancar dan teratur.

nazri kassim
Datuk Nazri Kassim

Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit barisan menunggu, keadaan keseluruhannya terkawal dan pengundi dilihat selesa menunggu giliran masing-masing.

“Keseluruhannya proses pengundian nampak berjalan lancar. Beratur sikit tetapi okey.

“Pengundi nampak okey beratur sekejap dan saya lihat warga emas turut disediakan kerusi untuk duduk sementara menunggu giliran,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Terdahulu Nazri tiba di pusat mengundi kira-kira jam 9.10 pagi sebelum selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada jam 9.35 pagi.

Dalam pada itu menurutnya, pengurusan di pusat mengundi juga berada pada tahap baik dengan perjalanan proses pengundian yang teratur.

“Pada dasarnya, saya fikir pengundian ini berjalan baik. Pengurusannya pun nampak baik dan di dalam saluran pengundi tadi juga nampak teratur,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pertemuan dengan calon lawan di pusat mengundi, Nazri berkata, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi punca terputusnya hubungan persahabatan.

“Politik ini jangan sampai kita berputus sahabat. Malah sepatutnya politik menjadi medan perlumbaan idea, pandangan dan wawasan perancangan.

“Kita perlu terbuka menerima pandangan yang berbeza dan menghargainya kerana itulah realiti kehidupan bermasyarakat yang perlu dihormati,” katanya lagi.

Beliau berkata, pendekatan politik yang matang dan berhemah perlu terus diamalkan demi memastikan persaingan yang sihat dalam sistem demokrasi.
“InsyaAllah saya mengambil pendirian terbuka, bersahabat dan terus bersahabat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button