PH yakin sokongan Orang Asli bertambah selepas penerangan berterusan
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) yakin sokongan masyarakat Orang Asli semakin meningkat selepas pelbagai penjelasan diberikan berhubung isu pembangunan dan penyaluran peruntukan kerajaan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, golongan itu antara segmen pengundi yang diberi perhatian sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, terdapat dakwaan yang sering dimainkan bahawa peruntukan pembangunan akan terjejas sekiranya pihak tertentu tidak memenangi pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata, masyarakat Orang Asli tidak perlu bimbang kerana PH merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan yang menentukan kelulusan peruntukan.
“Penjelasan yang paling penting kita sampaikan kepada masyarakat Orang Asli ialah kalau Pakatan Harapan menang, mereka tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan.
“Saya jelaskan bahawa Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan dan peruntukan itu diluluskan oleh kerajaan Persekutuan. Jadi tidak ada sebab masyarakat Orang Asli perlu bimbang,” katanya ketika ditemui selepas program Grand Finale Kekalkan Harapan di Seremban malam tadi.
Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada masyarakat Orang Asli sepanjang kempen juga sangat positif.
“Malah kehadiran ramai masyarakat Orang Asli pada program bersama Perdana Menteri pada hari sama membuktikan minat mereka untuk mendapatkan maklumat secara terus,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Anthony berkata, PH menyasarkan untuk mempertahankan semua kerusi yang disandang serta menambah beberapa kerusi baharu bagi membentuk kerajaan negeri.
“Sasaran kita adalah mempertahankan semua kerusi yang kita sandang dan memenangi beberapa kerusi tambahan.
“Kita buat yang terbaik, rakyat yang akan menentukan,” katanya lagi.
Mengulas peluangnya mempertahankan kerusi DUN Chennah, Anthony berkata, beliau menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pengundi Melayu.
“Sokongan itu didorong oleh penghargaan masyarakat terhadap usaha yang dilaksanakan untuk membantu sekolah dan komuniti setempat.
“Saya menerima banyak sokongan bukan sahaja daripada masyarakat Cina tetapi juga masyarakat Melayu.
“Mereka menghargai apa yang telah saya lakukan untuk sekolah dan masyarakat tempatan dan saya sangat berterima kasih atas sokongan itu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















