PDRM tidak berkompromi terhadap salah laku anggota sendiri – Saifuddin
PUTRAJAYA – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 12 pegawai kanan polis yang disyaki terlibat dalam kes memeras ugut seorang lelaki warga asing membuktikan pasukan keselamatan itu tidak akan berkompromi terhadap salah laku, walaupun membabitkan anggotanya sendiri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pantas yang diambil oleh PDRM menghantar mesej yang jelas bahawa tiada layanan istimewa diberikan kepada mana-mana anggota yang dipercayai terbabit dalam perlakuan jenayah atau salah laku.
Menurut beliau, keberanian pasukan polis mengambil tindakan terhadap anggota sendiri wajar dilihat sebagai bukti komitmen institusi itu dalam menegakkan integriti dan memastikan kepercayaan rakyat terus dipelihara.
“Hakikat bahawa pihak polis sendiri menangkap, menahan dan mengambil tindakan terhadap anggota mereka adalah mesej yang sangat jelas bahawa Polis Diraja Malaysia tidak akan sama sekali bertolak ansur.
“Sekalipun yang terlibat ialah anggota mereka sendiri.
“Daripada sudut pandang saya, mereka boleh sahaja memilih untuk mendiamkan perkara itu kerana memakai uniform yang sama. Tetapi mereka tidak berbuat demikian. Mereka tetap mengambil tindakan. Itulah yang saya fikir lebih penting,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai penahanan 12 pegawai kanan polis yang dipercayai terlibat dalam kes memeras ugut seorang lelaki warga asing sebanyak RM2 juta di Kuala Lumpur.
Saifuddin berkata, tindakan tersebut mencerminkan kesungguhan PDRM untuk memastikan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar undang-undang tetap disiasat dan diambil tindakan tanpa mengira pangkat atau jawatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








