BERITA SEMASA

Seminar HASiL tarik lebih 1,300 peserta, perkukuh tadbir urus cukai korporat

KUALA LUMPUR – Kesedaran terhadap kepentingan tadbir urus cukai korporat dan pematuhan percukaian dalam kalangan syarikat terus meningkat apabila Seminar Harga Pindahan dan Tadbir Urus Cukai Korporat 2026 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menerima penyertaan lebih 1,300 peserta.

Menurut HASiL dalam satu kenyataan, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding 1,050 peserta yang menyertai seminar sama pada tahun lalu.

“Seminar yang dianjurkan secara maya dengan kerjasama strategik Persatuan Alumni Hasil Dalam Negeri (AIRA) itu menjadi platform perkongsian ilmu antara HASiL, profesional percukaian dan komuniti perniagaan mengenai cabaran pematuhan cukai korporat dalam ekosistem perniagaan yang semakin kompleks,” katanya hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, ketika merasmikan seminar berkenaan berkata, kerjasama erat antara HASiL, profesional percukaian dan komuniti perniagaan amat penting bagi memperkukuh kepercayaan, memberikan kepastian serta membina ekosistem percukaian yang mampu menyokong daya saing ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, pengurusan cukai kini bukan lagi sekadar memenuhi keperluan pematuhan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada strategi tadbir urus korporat yang menekankan pengurusan risiko dan ketelusan dalam operasi perniagaan.

Seminar itu membincangkan empat topik utama iaitu Demystifying the Arm’s Length Principle Requirements, Managing Transfer Pricing Audit Risk, Tax Corporate Governance Framework in Malaysia: Expectations and Future Direction serta Evaluating e-Invoice Effectiveness: A Post Implementation Audit Perspective.

Barisan penceramah, moderator dan ahli panel terdiri daripada pegawai kanan HASiL, bekas pengurusan tertinggi HASiL serta profesional dan pengamal percukaian yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Menurut HASiL, penganjuran seminar itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi berkenaan memperkukuh pendidikan dan kefahaman percukaian selaras dengan Pelan Pendidikan Pembayar Cukai HASiL 2026–2030 yang memberi penekanan kepada peningkatan pengetahuan, kesedaran dan kefahaman bagi membentuk budaya pematuhan cukai secara sukarela.

HASiL berkata, platform pendidikan dan perkongsian ilmu seperti itu akan terus diperkasakan bagi memastikan komuniti perniagaan dan profesional cukai dapat mengurus isu percukaian dengan lebih berkesan, sekali gus menyokong pembentukan ekosistem perniagaan yang lebih telus, bertanggungjawab dan berdaya saing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button