BERITA SEMASA

Mahfuz Omar persoal Mohamad Hasan, gesa berundur jika prinsip sudah tidak seiring

REMBAU – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, mempersoalkan pendirian Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan sekiranya diarahkan oleh Perdana Menteri.

Menurut Mahfuz, persoalan sebenar bukan sama ada Perdana Menteri akan mengarahkan peletakan jawatan, tetapi mengapa seseorang pemimpin perlu menunggu arahan jika percaya prinsip kerjasama yang menjadi asas Kerajaan Perpaduan sudah tidak lagi dihormati.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan dibentuk atas asas persefahaman, kepercayaan dan tanggungjawab bersama, namun tindakan BN bekerjasama dengan pihak yang menjadi lawan kepada Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menimbulkan persoalan mengenai komitmen sebenar gabungan itu terhadap semangat kerjasama di peringkat Persekutuan.

Mahfuz turut menggunakan analogi bahawa seseorang yang sudah memilih “rumah sebelah” tidak sepatutnya terus memegang kunci rumah lama, sambil menyifatkan tindakan menikmati kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan tetapi pada masa sama bekerjasama dengan pihak yang berkempen untuk melemahkan kerajaan sebagai sesuatu yang tidak wajar.

“Tindakan itu sudah tentu mengundang persoalan mengenai komitmen sebenar terhadap semangat kerjasama di peringkat Persekutuan.

“Dalam budaya kita, kalau sudah memilih rumah sebelah, jangan lagi mahu memegang kunci rumah yang ditinggalkan. Begitu juga dalam politik. Tidak wajar pada siang hari menikmati tanggungjawab dan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi pada malam hari bekerjasama dengan pihak yang berkempen untuk melemahkan kerajaan yang sama.

“Jangan jadikan Perdana Menteri sebagai ‘penyapu’ untuk membersihkan kekotoran politik UMNO/BN yang dibuat sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Mahfuz menegaskan isu berkenaan bukan berkaitan kemarahan atau dendam, sebaliknya melibatkan soal integriti politik.

Katanya, jika benar yakin tindakan yang diambil adalah betul, pemimpin berkenaan perlu menunjukkan keberanian membuat keputusan sendiri tanpa meletakkan beban moral di bahu Perdana Menteri.

Beliau menambah bahawa seseorang pemimpin dinilai bukan apabila diarahkan berundur, tetapi apabila mengetahui masa yang tepat untuk melepaskan jawatan demi mempertahankan prinsip.

Menurutnya, jawatan hanya menjadi amanah apabila seseorang itu sanggup melepaskannya apabila prinsip tidak lagi seiring dengan kedudukan yang disandang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button