PRN Negeri Sembilan: 464 borang pencalonan telah terjual – SPR
SEREMBAN – Sebanyak 464 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah terjual setakat pukul 9 malam tadi menjelang hari penamaan calon yang berlangsung esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah itu, seramai 70 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit pencalonan.
Katanya, semua bakal calon digalakkan membuat bayaran deposit lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan pada hari penamaan calon.
“Calon masih boleh membuat bayaran sehingga pukul 10 pagi esok, namun mereka digalakkan berbuat demikian lebih awal bagi melancarkan urusan,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan di Pusat Penamaan Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat dan Ampangan di Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Forest Height, di sini, hari ini.
Ramlan berkata, persiapan bagi proses penamaan calon membabitkan kesemua 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan berjalan lancar dengan seramai 761 petugas SPR ditugaskan mengendalikan urusan di semua pusat penamaan calon.
Menurutnya, proses penamaan calon akan berlangsung dari pukul 9 hingga 10 pagi esok, manakala bayaran deposit pencalonan turut boleh dibuat sehingga tempoh tersebut berakhir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








