Deschamps persoal mutu pengadilan selepas Perancis tersingkir
ARLINGTON – Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps mempersoalkan mutu pengadilan pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas skuad Les Bleus tewas 0-2 kepada Sepanyol, sekali gus menamatkan impian mereka untuk mara ke final.
Pengendali berusia 57 tahun itu mempertikaikan keputusan pengadil dari El Salvador, Ivan Barton yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol dalam perlawanan berkenaan.
“Adakah ia keputusan tepat kerana ia jelas satu kekasaran yang tidak disengajakan. Adakah pengadil itu berada pada tahap yang diperlukan untuk mengadili perlawanan separuh akhir Piala Dunia,” tegasnya.
Dalam pada itu, Deschamps mengakui kekalahan kepada Sepanyol amat sukar diterima, lebih-lebih lagi ketika Perancis berada pada prestasi terbaik dengan menjaringkan 16 gol dalam enam perlawanan sepanjang kejohanan.
“Sudah tentu kami amat kecewa kerana kami datang dengan cita-cita yang tinggi. Namun kami juga perlu bersikap realistik dan mengakui bahawa hari ini kami sedikit ketinggalan dari segi teknikal berbanding Sepanyol yang mengawal permainan dengan sangat baik.
“Tetapi yang paling penting, kesalahan ini adalah daripada kami sendiri. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,” katanya.
Kekalahan itu turut memusnahkan impian Les Bleus memburu gelaran Piala Dunia ketiga, selain menjadi kempen terakhir Deschamps sebagai pengendali skuad kebangsaan Perancis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







