Perancis beralih ke Linux, kurangkan kebergantungan kepada teknologi Amerika Syarikat
PARIS – Kerajaan Perancis merancang untuk memindahkan sebahagian komputer pentadbirannya daripada sistem operasi Microsoft Windows kepada Linux.
Langkah strategik itu bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi Amerika Syarikat (AS) serta memperkukuh kedaulatan digital negara berkenaan.
Linux merupakan sistem operasi sumber terbuka yang boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma.
Ia menawarkan pelbagai versi atau ‘distribusi’ yang boleh disesuaikan mengikut keperluan khusus organisasi atau operasi tertentu di samping memberikan fleksibiliti dan kawalan yang lebih besar kepada pengguna.

Menteri Tindakan Awam dan Akaun Perancis, David Amiel menjelaskan bahawa usaha tersebut bertujuan untuk ‘mengambil semula kawalan terhadap tadbir digital negara’ dengan mengurangkan pergantungan kepada syarikat teknologi dari AS.
“Kerajaan Perancis tidak lagi boleh menerima keadaan di mana kami tidak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap data dan infrastruktur digital kami,” katanya memetik laporan portal TechCrunch.
Bagaimanapun, kerajaan Perancis tidak menetapkan garis masa khusus bagi pelaksanaan peralihan tersebut atau menyatakan distribusi Linux yang akan digunakan.
Fasa awal migrasi akan melibatkan komputer di Agensi Digital Kerajaan Perancis, Direction Interministerielle du Numerique (DINUM).
Setakat ini, syarikat Microsoft tidak memberikan sebarang komen berhubung perkembangan tersebut.
Keputusan Perancis untuk meninggalkan Windows dibuat beberapa bulan selepas kerajaan negara itu mengumumkan penghentian penggunaan Microsoft Teams sebagai platform persidangan video.
Sebagai gantinya, mereka memilih penggunaan Visio, sebuah aplikasi yang dibangunkan di Perancis dan berasaskan perisian sumber terbuka Jitsi yang menawarkan ciri penyulitan hujung ke hujung bagi meningkatkan keselamatan komunikasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








