SUKAN

Final Piala Dunia bakal tampil dengan tempoh rehat separuh masa 30 minit?

NEW YORK – Perlawanan akhir Piala Dunia awal pagi Isnin ini dijangka menyaksikan tempoh rehat separuh masa dilanjutkan kepada kira-kira 30 minit bagi memberi laluan kepada persembahan hiburan khas, sekali gus melebihi daripada tempoh maksimum 15 minit yang ditetapkan dalam undang-undang permainan.

Tempoh rehat yang lebih panjang itu adalah bagi membolehkan persembahan separuh masa julung kali diperkenalkan pada pentas final Piala Dunia, dengan barisan artis antarabangsa seperti Justin Bieber, Madonna, Shakira dan BTS dijangka membuat persembahan.

Walaupun FIFA belum mengesahkan tempoh rasmi rehat separuh masa, penyiar antarabangsa menjangkakan ia akan dilanjutkan kepada kira-kira 30 minit, menurut laporan The Times.

Persembahan itu dijangka menampilkan konsep hampir sama seperti pertunjukan ikonik separuh masa Super Bowl dalam saingan Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) Amerika Syarikat.

Bagi menjayakan persembahan berkenaan, pentas akan dibina sejurus tamat babak pertama dan dibuka semula sebelum aksi bersambung, selain analisis perlawanan turut dijalankan sebelum dan selepas persembahan.

Bagaimanapun, langkah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu dilihat bercanggah dengan undang-undang permainan yang menetapkan tempoh maksimum rehat separuh masa ialah 15 minit.

Baca juga : Piala Dunia: Mbappe masih berpeluang pertahan Kasut Emas

Sepanjang kejohanan kali ini, FIFA turut berdepan beberapa kontroversi termasuk keputusan menggantung kad merah penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, yang mencetuskan kritikan pelbagai pihak.

Keputusan itu turut menarik perhatian Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengakui menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino bagi meminta keputusan berkenaan dikaji semula.

Susulan beberapa keputusan kontroversi sepanjang kejohanan, Infantino turut menerima desakan supaya melepaskan jawatan.

Selain itu, FIFA juga dikatakan terpaksa melonggarkan peraturan berkaitan penjenamaan stadium apabila logo Mercedes-Benz di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta tidak dapat ditutup kerana dikhuatiri boleh merosakkan struktur bumbung stadium.

Sebelum ini, FIFA menetapkan semua stadium tuan rumah perlu menutup logo dan penjenamaan komersial sepanjang kejohanan berlangsung.

Final Piala Dunia dijadual berlangsung di Stadium MetLife, New York, awal pagi Isnin ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button