BERITA SEMASASUKAN

Piala Dunia 2026: Sepanyol mungkin boikot jika Israel layak

BARCELONA – Sepanyol berkemungkinan memboikot Piala Dunia 2026 sekiranya Israel layak dan dibenarkan bertanding.

Cadangan itu hadir selepas penyiar Sepanyol, RTVE, mengancam untuk memboikot Pertandingan Lagu Eurovision tahun depan sekiranya Israel turut serta, susulan pengumuman serupa di Belanda, Ireland, Slovenia dan Iceland.

Jurucakap Blok Sosialis di Kongres Sepanyol, Patxi Lopez turut menggesa persatuan sukan supaya ‘mengecualikan’ Israel daripada kejohanan tersebut, sebagaimana yang dilakukan terhadap Rusia selepas pencerobohannya ke atas Ukraine.

Sentimen tersebut turut disuarakan jurucakap kerajaan Sepanyol merangkap Menteri Sukan, Pilar Alegria, yang menggesa Israel dikecualikan daripada kejohanan antarabangsa berikutan situasi di Gaza yang semakin meruncing.

“Sukan bukanlah, dan tidak boleh menjadi, sebuah pulau yang terpisah daripada apa yang berlaku di dunia sebenar, terutamanya apabila dunia nyata menunjukkan kepada kita bahawa hak asasi manusia sedang dimusnahkan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, telah mengeluarkan kenyataan menggesa Israel dikecualikan daripada pertandingan sukan antarabangsa atas tindakannya di Gaza.

Awal minggu ini, Sanchez berkata Israel seharusnya dilayan sama seperti Rusia, yang telah digantung daripada kejohanan antarabangsa oleh FIFA dan UEFA selepas pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.

“Israel tidak boleh terus menggunakan mana-mana platform antarabangsa untuk membersihkan imejnya,” kata Sanchez kepada wakil Parti Pekerja Sosialisnya.

Israel kini berada di tangga ketiga dalam kumpulan kelayakan tetapi masih mempunyai peluang besar untuk sekurang-kurangnya merebut slot play-off.

Mereka kini enam mata di belakang pendahulu kumpulan, Norway, tetapi berkongsi mata dengan Itali di tempat kedua, dengan baki tiga perlawanan.

Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan di tempat kedua berpeluang ke play-off bergantung kepada keputusan dalam kumpulan lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button