Pasca PRN Johor: PH perlu nilai semula kerjasama dengan BN – Pemuda AMANAH
KUALA LUMPUR – Pemuda AMANAH Nasional menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menilai semula kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Persekutuan bagi mengembalikan kejelasan pendirian politik dan mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.
Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Hadi Kanis berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah memperlihatkan landskap politik yang mengelirukan apabila PH dan BN bertembung sebagai pesaing di peringkat negeri, namun masih bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai kedudukan sebenar hubungan politik antara kedua-dua gabungan berkenaan.
“Rakyat tertanya-tanya, siapa sebenarnya lawan dan siapa sebenarnya kawan. Di peringkat negeri saling menyerang, tetapi di Putrajaya duduk semeja sebagai rakan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut membangkitkan kenyataan beberapa pimpinan PAS yang menggesa ahlinya menyokong calon BN, termasuk daripada MIC dan MCA, dalam beberapa kerusi pada PRN Johor.
Menurutnya, perkembangan itu mewujudkan persepsi bahawa BN sanggup menerima sokongan daripada pihak yang pada masa sama mengkritik Kerajaan Perpaduan, sekali gus dilihat mengambil kesempatan terhadap pendekatan terbuka yang diamalkan Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Hadi berkata PH perlu mempertimbangkan semula bentuk kerjasama dengan BN sekiranya kedua-dua pihak terus bersaing secara langsung dalam pilihan raya.
Beliau menegaskan bahawa demokrasi yang sihat memerlukan persaingan politik yang telus dan pendirian yang konsisten supaya rakyat memahami mandat yang diberikan kepada parti-parti politik.
“Demokrasi yang kukuh tidak dibina atas kekaburan hubungan politik, tetapi atas kejelasan prinsip, konsistensi pendirian dan penghormatan terhadap mandat rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berpandangan bahawa kestabilan Kerajaan Persekutuan boleh dikekalkan walaupun tanpa penyertaan BN, sambil menegaskan perpaduan politik tidak semestinya bergantung kepada kerjasama dengan gabungan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















