PRN Johor: Peratusan keluar mengundi tinggi mampu beri Pakatan Harapan kelebihan
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kadar keluar mengundi antara 70 hingga 75 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang disifatkan mampu memberi kelebihan kepada gabungan itu dalam usaha mendapatkan mandat lebih kukuh daripada rakyat.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad, berkata peningkatan jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab dilihat penting dalam menentukan sokongan sebenar rakyat terhadap kerajaan yang bakal dibentuk.
Katanya, kadar keluar mengundi yang tinggi akan memastikan kerajaan negeri yang dipilih benar-benar memperoleh mandat majoriti daripada rakyat Johor.
“Kita perlu mengundi beramai-ramai pada Sabtu ini kerana peluang mengundi ramai itu sangat penting untuk memastikan kerajaan yang akan menerajui negeri benar-benar mendapat mandat majoriti daripada rakyat.
“Itu sebabnya kita menyasarkan kadar keluar mengundi paling minimum 70 hingga 75 peratus,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas berkempen di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, kadar keluar mengundi pada PRN Johor 2022 yang hanya sekitar 50.6 peratus menyebabkan mandat yang diberikan kepada kerajaan negeri ketika itu tidak begitu signifikan.
Katanya, kesedaran rakyat untuk keluar mengundi perlu dipertingkatkan kerana setiap undi mempunyai peranan dalam menentukan hala tuju Johor.
Beliau berkata, rakyat perlu menggunakan hak demokrasi itu bagi memilih kerajaan yang mampu membawa masa depan lebih baik kepada negeri berkenaan yang kini menjadi antara enjin ekonomi utama Malaysia.
“Saya harap 11 Julai nanti rakyat keluar beramai-ramai mengundi. Undi parti mana itu perkara nombor dua, tetapi yang penting kita keluar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi.
“Walaupun satu undi, jangan kita anggap undi itu tidak mengubah apa-apa. Setiap undi itu penting untuk menentukan masa depan negeri Johor dan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















