Kes kematian Wan Ahmad Faris diklasifikasi sebagai NFA – AGC
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemukan meninggal dunia pada 2013, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau No Further Action (NFA).
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan serta siasatan lanjut yang dijalankan berhubung kes berkenaan.
Menurut beliau, siasatan tambahan turut dilakukan berdasarkan naratif dan maklumat yang dikemukakan oleh pihak keluarga Allahyarham.

“Jabatan Peguam Negara telah meneliti kertas siasatan kes di Kok Lanas yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan kematian pelajar Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kelantan, iaitu Allahyarham Wan Ahmad Faris.
“Dalam tempoh siasatan, seramai 84 saksi telah dirakam percakapan, manakala sebanyak 45 sampel DNA dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia,” katanya menerusi surat pemakluman bertarikh 3 Julai yang diterima peguam keluarga Allahyarham hari ini.
Mohd Dusuki berkata, hasil siasatan menyeluruh yang dijalankan mendapati tiada keterangan yang boleh mengaitkan mana-mana individu lain dengan kematian Allahyarham.
“Selepas meneliti keseluruhan keterangan yang diperoleh, kami berpandangan bahawa tiada sebarang petunjuk untuk mengaitkan mana-mana individu dengan perlakuan kesalahan, khususnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, kertas siasatan ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas kehilangan yang dialami.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang ketika itu merupakan pelajar Tingkatan Empat ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, Kelantan.
Ketika itu, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah.
Bagaimanapun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris adalah disebabkan oleh tindakan individu atau individu-individu yang tidak dapat dikenal pasti.
Susulan perkembangan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Ogos 2025 mengesahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula siasatan terhadap kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















