BERITA SEMASADALAM NEGERI

Faisal Halim kecewa kes simbah asid diputuskan NFA

KAJANG – Pemain bola sepak sensasi negara, Faisal Halim meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara yang memutuskan tidak meneruskan siasatan terhadap kes simbahan asid yang menimpanya pada Mei tahun lalu.

Peguamnya, Nik Zarith Nik Moustpha berkata, keputusan itu sukar diterima memandangkan kejadian tersebut hampir meragut nyawa anak guamnya dan memberi kesan besar terhadap kerjaya profesionalnya sebagai pemain bola sepak.

“Sudah tentu beliau kecewa, lebih-lebih lagi bila kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). Tapi beliau juga faham proses undang-undang dan tetap menghormatinya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Nik Zarith mendedahkan pihaknya menerima surat rasmi daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 18 Februari 2025, menyatakan siasatan dihentikan selepas pihak polis tidak menemui sebarang petunjuk baharu.

“Kami tidak berdiam diri. Pada 18 April lalu, kami telah hantar surat kepada AGC untuk mohon siasatan dibuka semula, namun setakat ini belum terima apa-apa maklum balas,” tambahnya.

Sementara itu, peguam Mohd. Haijan Omar yang turut mewakili Faisal menyifatkan keputusan hentikan siasatan sebagai tidak munasabah dan terburu-buru, memandangkan serangan itu menyebabkan kecederaan serius terhadap mangsa.

“Kes ini diklasifikasi di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman berat. Jadi kenapa tiada seorang pun yang ditahan atau didakwa?” soalnya.

Menurutnya, pihak peguam sedang meneliti kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang lain termasuk saman sivil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

“Buat masa ini, fokus kami adalah untuk mendapatkan keadilan kepada Faisal dahulu. Bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi hak mangsa mesti dipertahankan,” tambahnya.

Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei 2024, yang mengakibatkan kecederaan tahap empat dan memerlukan beberapa pembedahan.

Namun begitu, semangat juang Faisal cukup luar biasa apabila berjaya kembali beraksi bersama Selangor FC dalam masa yang singkat seterusnya dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya pada Mac lalu dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.

“Dia nampak kuat secara fizikal, tapi dari segi emosi dan mental, insiden ini pasti tinggalkan kesan mendalam. Namun Faisal tetap tekad untuk bangkit,” ujar Haijan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button