Keluarga harap kematian Wan Ahmad Faris dapat keadilan selepas 13 tahun
KOTA BHARU – Selepas lebih sedekad menanggung duka, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman berharap kes kematian anak mereka yang dipercayai dibunuh pada 2013 menemui noktah apabila siasatan semula Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sudah selesai.
Ibu mangsa, Ruhani Hussin, 71, berkata, harapan untuk melihat keadilan ditegakkan tidak pernah padam namun beliau memilih untuk menyerahkan sepenuhnya keputusan akhir kepada ketentuan Allah agar tidak terbeban dengan kekecewaan.
“Saya berterima kasih kepada PDRM kerana menyiasat semula kes anak saya sehingga selesai dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Sebagai ibu, sudah tentu saya mengharapkan pengakhiran yang baik iaitu pelaku sebenar ditangkap dan didakwa di mahkamah,” katanya memetik laporan BH Online.

Menurut Ruhani, sejak 13 tahun lalu, beliau tidak pernah putus dengan berdoa siang dan malam agar kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya termasuk berharap siasatan terbaharu berjaya menemukan bukti saintifik seperti DNA daripada barangan kes.
Namun katanya, beliau sentiasa mengingatkan diri supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana bimbang berdepan kekecewaan sekiranya kes itu sekali lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Saya akan bersabar dan menunggu dua minggu lagi untuk mendengar maklum balas daripada AGC. Saya hanya mampu berdoa semoga urusan ini dipermudahkan.
“Jika sebaliknya berlaku, saya serahkan segalanya kepada Allah. Mereka mungkin terlepas di dunia tetapi tidak akan terlepas di akhirat,” katanya lagi.
Kelmarin, media melaporkan siasatan semula kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris telah selesai dijalankan oleh PDRM.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, kertas siasatan kes itu telah diserahkan polis kepada AGC pada Jumaat lalu dan pihaknya memerlukan kira-kira dua minggu untuk meneliti sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Untuk rekod, pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang ketika itu pelajar Tingkatan 4 ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.
Mayat mangsa ditemui oleh penyelia asrama selepas terhidu bau busuk dari tandas berkenaan.
Bedah siasat awal ketika itu mengesahkan ia sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah.
Bagaimanapun pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan kematian pelajar tahfiz berkenaan adalah akibat tindakan individu yang tidak dapat dikenal pasti.
Pada Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PDRM akan membuka semula siasatan kes kematian Wan Ahmad Faris sekali gus menghidupkan semula harapan keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







