BERITA SEMASA

AGC klasifikasi kes ugutan jenayah libat Azam Baki sebagai NFA

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) diambil terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung aduan ugutan jenayah yang dibuat oleh Tei Jiann Cheing atau Albert Tei.

AGC dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan tersebut mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, AGC memutuskan kertas siasatan berkenaan diklasifikasikan sebagai NFA atau tiada tindakan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan Albert Tei membuat laporan polis pada 13 Mei lalu dengan mendakwa beliau menerima ugutan menerusi peguam yang didakwa bertindak bagi Azam.

Beliau turut mendakwa diugut, dihalang dan menjadi mangsa tindakan tertentu ketika cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah melibatkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan merakam keterangan beberapa individu termasuk Azam bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button