Puad Zarkashi pertahan tindakan berkempen di pentas PH, tegaskan bukan lagi ahli UMNO
JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Puad Zarkashi mempertahankan tindakannya berkempen di pentas Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menegaskan kehadirannya adalah atas kapasiti sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan dan bukan lagi sebagai ahli UMNO.
Beliau berkata, kehadirannya pada ceramah PH di Felda Ulu Tebrau bagi memberi sokongan kepada calon PKR, Dr Maszlee Malik serta sokongannya terhadap calon AMANAH di DUN Rengit turut mencetuskan kritikan daripada beberapa pemimpin UMNO.
“Di sebelah pagi saya post infografik di Facebook di mana saya menyokong calon PH daripada AMANAH, Yazid Bakri yang bertanding di DUN Rengit.
Seperti dijangka, akibat dua kes itu saya dikecam dan dinista khususnya oleh pemimpin UMNO.
“Di antara komen negatif itu datang daripada Razlan Rafii, Setiausaha Politik Zahid Hamidi. Dia ahli MKT dan Ketua UMNO Bahagian Siputeh. Dia kata “Lepas ni masuk terus DAP, kan senang”. Begitulah pemikiran sempit segelintir pemimpin UMNO.
“Masih mengamal politik bawah tempurung. Mereka ingat dengan mengaitkan sesiapa sahaja dengan DAP maka UMNO akan dapat sokongan orang Melayu? Walhal FELDA Ulu Tebrau dianggap kawasan hitam pada pihak lawan. Ia dianggap kubu kuat UMNO tetapi tidak malam tadi orang Felda telah berubah. Kehadiran ramai malam tadi bukti orang Felda bebas dan berani buat pendirian politik tetapi sebahagian pemimpin UMNO tidak berubah. Masih dengan naratif basi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut mendakwa akibat tindakan UMNO itu menyebabkan Gen-Z dan Gen-Alpha semakin menjauhkan diri.
“Sebab itu saya kata UMNO yang sudah berusia 80 tahun patut dipimpin oleh generasi keempat UMNO, bukan pemimpin recycle tetapi pemimpin UMNO amat degil.
“Malam tadi saya hadir sebagai penyokong kerajaan perpaduan. Dari awal saya menyokong penubuhan kerajaan perpaduan. PH adalah kerajaan. BN juga adalah kerajaan. Mana BN berani pull the plug. Dr Akmal sahaja yang cakap besar. Maka tidak salah saya naik pentas PH.
“Lagi pun saya sudah keluar daripada UMNO. Hak saya mahu menyokong sesiapa atas dasar peribadi calon itu. Saya bukan macam Hishamuddin Hussien Onn. Masih Ahli Parlimen UMNO tetapi sign akuan bersumpah menyokong Muhyiddin jadi Perdana Meteri,” katanya.
Sementara itu katanya, dalam kempen itu beliau turut menyokong inisiatif kerajaan pusat mahu menjadikan Johor Bahru sebagai Shenzen Asia Tenggara.
“Kalau JS-SEJ berjaya mana mungkin Shenzen Asia Tenggara tidak berjaya. Onn Hafiz sendiri mengaku JS-SEZ adalah penyumbang besar FDI naik.
“Maka tidak perlu Onn Hafiz jadikan isu JS-SEZ yang belum dilancarkan sebagai pertelagahan antara negeri dan pusat. “Moves on” kepada politik yang bebas dan seimbang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















