BERITA SEMASA

PETRONAS rekod dua penemuan baharu, capai kejayaan telaga kelapan di Suriname

KUALA LUMPUR – PETRONAS, melalui anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Suriname E&P B.V. (PSEPBV), telah merekodkan dua penemuan baharu dan mencapai kejayaan dalam penilaian di Blok 52 di luar pesisir Suriname.

Menurut Petronas dalam satu kenyataan, kejayaan itu menjadikan jumlah keseluruhan pencapaian PETRONAS di negara tersebut kepada lapan telaga yang berjaya, sekali gus membuka potensi sumber yang boleh diperoleh melebihi satu bilion tong setara minyak.

“Telaga penerokaan Caiman-1, yang digerudi di kedalaman air 90 meter dengan kedalaman keseluruhan 5,065 meter, telah menemukan pelbagai selang batuan pasir Cretaceous yang mengandungi minyak.

“Telaga penerokaan Swartzia Aspasia Complex-1 (SAC-1) yang terletak 8 kilometer di timur penemuan gas Sloanea-1 pada kedalaman air 610 meter, dan digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 4,560 meter, telah menemukan takungan batuan pasir yang mengandungi gas,” menurut kenyataan itu.

Ujian aliran batang gerudi (DST) menunjukkan keupayaan penghantaran gas yang kukuh, sekali gus menandakan kualiti takungan yang baik.

Telaga penilaian Roystonea-2, yang digerudi 7 kilometer ke utara Roystonea-1, mengesahkan keluasan lateral takungan yang mengandungi minyak, dengan keputusan DST menunjukkan produktiviti minyak yang kukuh, seterusnya mengesahkan kualiti dan keluasan sistem takungan tersebut.

PETRONAS mengendalikan Blok 52 dengan 80 peratus kepentingan penyertaan, manakala baki 20 peratus lagi dipegang oleh Paradise Oil Company N.V. (POC), anak syarikat milik penuh Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie).

PETRONAS kini memegang kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname melibatkan Blok 9, 10, 48, 52, 53, 63, 64, dan 66.

Ketua Pegawai Operasi PETRONAS, yang juga Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hulu, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata, lapan telaga yang berjaya di Suriname dengan sumber boleh pulih melebihi satu bilion tong bersamaan minyak yang telah dirungkai, mencerminkan kekuatan keupayaan teknikal, pelaksanaan berdisiplin dan perkongsian kukuh syarikat itu di Suriname.

“Blok 52 terletak dalam koridor yang mempunyai prospek tinggi, iaitu ‘Golden Lane’, dan kami kekal fokus untuk menterjemahkan asas sumber ini kepada nilai jangka panjang bagi Suriname dan bagi PETRONAS,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button