Lelaki bergelar Datuk antara 291 ditahan dalam Op Gaurus, disyaki dalang sindiket dadah
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar Datuk yang dipercayai mengetuai kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antara 291 individu yang ditahan dalam Op Gaurus yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Perak, Lembah Klang dan Johor minggu lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu dipercayai menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah yang aktif di beberapa negeri terbabit.
Menurutnya, operasi berkenaan turut menumpaskan rangkaian sembilan ahli sindiket yang dipercayai mendapatkan bekalan dadah secara pukal sebelum membungkus semula untuk diedarkan ke pusat-pusat hiburan.
“Sindiket ini dipercayai aktif beroperasi di sekitar Perak, Lembah Klang dan Johor sejak pertengahan tahun 2024,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, serbuk dan cecair MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 serta ganja dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6.26 juta.
Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset yang dipercayai diperoleh hasil kegiatan sindiket, termasuk sebuah Nissan Sentra, Mazda, Maserati Ghibli, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mercedes-Benz C250, dua utas jam tangan Rolex serta wang tunai berjumlah RM4,383.
“Kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 74 tahun dan lima daripada mereka didapati positif pelbagai jenis dadah.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tindakan pelucuthakan harta turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








