BERITA SEMASA

KPN perkenal tiga langkah strategik transformasi sektor permuziuman negara

JOHOR BAHRU – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Muzium Malaysia kini giat mentransformasikan sektor permuziuman negara melalui tiga langkah strategik demi memastikan ia terus kekal relevan serta berdaya saing.

Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, langkah pertama yang diambil adalah pengenalan Geran Padanan Muzium oleh pihak kerajaan melalui Belanjawan 2026.

“Inisiatif julung kali ini bertujuan memperkasa pembangunan sektor permuziuman melalui pelaksanaan projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur, pendigitalan muzium, penyediaan ruang pendidikan serta pelaksanaan program-program permuziuman yang lebih inklusif serta berorientasikan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 yang berlangsung di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Ismail Abu dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim.

Aaron menambah, langkah kedua melibatkan kelulusan dasar oleh Jemaah Menteri pada 29 April 2026 berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM).

Katanya, penggubalan undang-undang tersebut merupakan satu anjakan besar dalam memperkukuh tadbir urus sektor permuziuman negara.

“Ketiga pula, Kerajaan telah meluluskan pembangunan Muzium Alam Semula Jadi Malaysia di Putrajaya sekali gus merealisasikan hasrat yang telah dirancang sejak tahun 1989.

“Projek ini merupakan antara inisiatif strategik negara dalam memperkukuh pemeliharaan dan pendidikan berkaitan biodiversiti serta warisan alam semula jadi Malaysia,” ujarnya.

Sebagai salah sebuah negara mega biodiversiti dunia, beliau menjelaskan, Malaysia memiliki khazanah alam yang amat bernilai.

Sehingga kini, katanya, Muzium Alam Semula Jadi menyimpan sebanyak 76,666 spesimen, merangkumi 73,934 koleksi zoologi, 2,075 koleksi botani dan 657 koleksi geologi.

“Koleksi ini bukan sahaja mempunyai nilai saintifik yang tinggi malah menjadi sumber rujukan penting dalam usaha penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan warisan alam negara,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button