KPN anjur Pertandingan Melukis Mural Negara Bangsa 2026
PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) menganjurkan Pertandingan Melukis Mural Negara Bangsa Peringkat Kebangsaan 2026 bermula 23 Februari hingga 28 Jun ini.

KPN berkata, pertandingan bertemakan “Bersama Membina Negara Bangsa” itu dipilih selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang mengangkat pembinaan negara bangsa sebagai antara tonggak utama pembangunan rakyat dan negara.
“Negara bangsa amat penting untuk Malaysia masa kini kerana ia menjadi asas kepada keamanan, perpaduan, kestabilan dan keharmonian dalam sebuah negara majmuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pertandingan berkenaan terbuka kepada semua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan dan sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
Pelbagai hadiah menarik menanti para pemenang, selain sijil penyertaan turut diberikan kepada semua peserta yang mengambil bahagian.
Menurut KPN, penganjuran pertandingan itu merupakan sebahagian usaha berterusan kementerian dalam menyemarakkan semangat kenegaraan dan memperkukuh jati diri dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman media sosial rasmi ANM atau mengimbas kod respons pantas (QR) yang tertera pada poster rasmi pertandingan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








