AGAMABERITA SEMASA

Sesat dalam hutan bukan alasan boleh makan babi – UAI

KUALA LUMPUR – Sesat di dalam hutan tidak membolehkan seseorang untuk terus memakan daging babi, sebaliknya ia diharuskan selepas mengambil kira sumber makanan halal yang masih boleh diperolehi.

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkata, para ulama telah menjelaskan bahawa konsep darurat dalam Islam mempunyai syarat-syarat tertentu dan tidak boleh ditafsirkan secara mudah.

Ustaz Azhar Idrus

Menurut beliau, individu yang tersesat di dalam hutan lazimnya masih mempunyai pilihan makanan daripada sumber tumbuhan liar yang boleh dimakan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Ulama dahulu menyebut, jika sesat di dalam hutan, maka tumbuhan atau pokok yang boleh dijadikan makanan hendaklah didahulukan.

“Berbeza jika seseorang berada di kawasan yang langsung tidak mempunyai sumber makanan lain.

“Jangan terus beranggapan apabila sesat dalam hutan dan nampak babi, maka terus boleh memakannya atas alasan darurat. Keadaan itu tidak begitu,” katanya dalam satu kuliah yang dikongsikan di media sosial.

Beliau menjelaskan bahawa hukum memakan makanan yang diharamkan hanya boleh dipertimbangkan apabila seseorang benar-benar berada dalam keadaan terdesak dan tiada lagi pilihan makanan yang lain.

Katanya, hutan kebiasaannya mempunyai pelbagai jenis tumbuhan liar yang boleh dijadikan sumber makanan, sekali gus menafikan dakwaan bahawa seseorang boleh terus memilih makanan haram untuk dimakan.

“Masa berada dalam hutan masih ada banyak tumbuhan liar yang boleh dimakan. Sebab itu tidak boleh terus mengambil babi sebagai makanan.

“Jika benar-benar tiada pilihan lain, contohnya hanya ada tikus dan babi, maka tikus didahulukan kerana babi sememangnya diharamkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar memahami konsep darurat menurut syarak secara tepat supaya tidak tersalah tafsir sehingga menganggap sesuatu yang haram boleh dilakukan tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button