Tidur dalam masjid harus, bukan makruh jika jaga adab – Ustaz Azhar Idrus
KUALA LUMPUR – Hukum tidur di dalam masjid adalah harus dan tidak makruh selagi ia dilakukan dengan menjaga adab-adab yang ditetapkan, jelas pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kekeliruan segelintir masyarakat yang beranggapan tidur di dalam masjid adalah perbuatan makruh walaupun terdapat pandangan ulama yang membenarkannya.
Menurut beliau, keharusan tidur di masjid bersandarkan kepada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA, yang menyatakan bahawa beliau pernah tidur di dalam masjid ketika masih muda dan belum berkahwin pada zaman Rasulullah SAW.

“Dahulu aku ketika budak muda yang belum berkahwin, aku tidur di dalam masjid pada zaman Rasulullah SAW,” menurut hadis yang diriwayatkan secara muttafaq ‘alaih.
Beliau menjelaskan, perbuatan tersebut menjadi dalil jelas bahawa tidur di dalam masjid adalah dibenarkan dan tidak ditegah oleh Rasulullah SAW.
Menguatkan lagi pandangan tersebut, Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ menyatakan bahawa tidur di dalam masjid adalah harus dan tidak makruh menurut mazhab Syafie, sebagaimana yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafie dalam kitab Al-Umm dan disepakati oleh para ulama mazhab.
Selain itu, Ibnu al-Munzir turut meriwayatkan bahawa beberapa tokoh ulama besar seperti Ibnu al-Musayyib, ‘Atha’ dan al-Hasan turut mengharuskan perbuatan tidur di dalam masjid.
Bagaimanapun, Ustaz Azhar menegaskan bahawa keharusan itu tertakluk kepada pemeliharaan adab termasuk menjaga kebersihan masjid, tidak mengganggu jemaah lain serta menghormati kesucian rumah Allah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








