Bersedekah tapi berjudi, pahala tidak diterima – Ustaz Azhar Idrus
KUALA LUMPUR – Orang yang gemar berjudi walaupun kerap menderma tetap tidak mendapat pahala di akhirat kerana perjudian termasuk dosa besar dalam Islam.
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menegaskan sesiapa yang terlibat dalam amalan judi dianggap fasik dan tidak sah menjadi wali nikah atau saksi, sama ada mereka menang atau kalah.
Ini termasuk juga judi dalam talian yang semakin popular dalam kalangan masyarakat masa kini.
“Jika seseorang menang dalam permainan judi, dosa yang ditanggungnya lebih berat kerana ia termasuk memakan harta haram.
“Sesiapa yang menderma menggunakan harta haram, maka sedekahnya tidak diterima dan tiada pahalanya di akhirat,” katanya dalam soal jawab di saluran WhatsApp rasmi beliau.
Ustaz Azhar merujuk hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan diterima solat tanpa bersuci dan tidak akan diterima sedekah dari harta yang haram.” (Hadis Riwayat Muslim)
Beliau turut memetik hadis daripada Al-Qasim ibn Al-Mukhaimirah RA yang menyebut bahawa:
“Barangsiapa mengusahakan harta dari cara dosa lalu dia hubungi dengan harta itu akan rahimnya atau bersedekah dengannya atau membelanjakannya di jalan Allah, nescaya semua itu akan dikumpulkan dan dilemparkan ke dalam neraka Jahannam.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
“Kesimpulannya berjudi adalah haram, yang bermain judi adalah seorang fasik dan setiap amalan baiknya tidak akan diterima oleh Allah,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








