Talak ketika marah tetap sah, kecuali jika suami hilang kesedaran – Ustaz Azhar Idrus
KUALA LUMPUR – Isu penceraian ketika suami dalam keadaan marah sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Ustaz Azhar Idrus, talak yang dijatuhkan ketika marah adalah sah dan tetap berlaku selagi suami masih dalam keadaan sedar dan mengetahui apa yang diucap serta dilakukan.

Dalam satu penerangan beliau, hadis dan pandangan fuqaha menunjukkan bahawa walaupun suami mendakwa tidak sedar akibat marah, talak tetap jatuh.
Ini dinyatakan dalam Kitab I’anah At-Talibin yang menyebut:
“Telah sepakat oleh fuqaha atas berlaku talak ketika marah dan sekalipun dia mendakwa tidak sedar dengan sebab marah itu.”
Namun begitu, Ustaz Azhar menjelaskan, menurut Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam Al-Fiqh Al-Islami, talak hanya tidak sah jika kemarahan suami melampau sehingga menyebabkan hilang kesedaran, tidak tahu apa yang dicakapkan atau dilakukan.
Keadaan sebegini jarang berlaku kerana selagi seseorang itu sedar dan memahami perbuatannya, talak tetap berlaku.
Ustaz Azhar menegaskan bahawa prinsip itu serupa dengan hukuman dalam perbuatan lain ketika marah, seperti membunuh atau melakukan kekufuran.
“Orang yang marah tetap bertanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan, termasuk menjatuhkan talak,” jelas beliau.
Beliau menekankan, masyarakat perlu memahami bahawa talak bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan semata-mata kerana ia dilakukan ketika marah.
Kesedaran dan tanggungjawab suami ketika itu menjadi faktor utama dalam kesahihan talak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








