AGAMABERITA SEMASA

Hukum wanita iringi jenazah ke kubur makruh, bukan haram – Ustaz Azhar Idrus

KUALA LUMPUR – Hukum wanita mengiringi jenazah hingga ke kubur adalah makruh dan bukannya haram, seperti yang difahami sesetengah pihak.

Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, berdasarkan hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ummu ‘Athiyah, kaum wanita memang dilarang mengikuti jenazah ke kubur namun larangan itu tidak bersifat mutlak.

Menurut hadis tersebut, larangan itu tidak dikuatkan atau ditegaskan seperti larangan terhadap perkara-perkara lain yang jelas diharamkan.

“Kesimpulannya, hukum wanita menghantar jenazah ke kubur ialah makruh, bukannya haram,” jelasnya dalam satu penjelasan di channel WhatsApp beliau, hari ini.

Ustaz Azhar turut memetik pandangan beberapa ulama muktabar seperti Syeikh Zakaria Al-Ansori, Imam Badaruddin Al-Aini Al-Hanafi dan Imam Nawawi yang sepakat menyatakan bahawa hukum bagi kaum lelaki mengiringi jenazah adalah sunat sehingga selesai dikebumikan, manakala bagi wanita pula hukumnya makruh tanpa pengharaman.

Menurut beliau, kemungkinan ada ustaz yang menyebut ‘haram’ merujuk kepada isu lain, seperti wanita yang keluar rumah tanpa mematuhi adab berpakaian atau peraturan yang ditetapkan syarak.

Penjelasan itu sekali gus memberikan pencerahan kepada masyarakat agar tidak keliru dalam memahami perbezaan antara hukum makruh dan haram, terutama dalam urusan menguruskan jenazah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button