Makruh main telefon, kutip derma ketika khutbah Jumaat – Ustaz Azhar Idrus
KUALA LUMPUR – Khutbah Jumaat merupakan salah satu rukun penting yang wajib didengar dan dihayati oleh setiap lelaki Muslim setiap kali menunaikan solat Jumaat.
Namun realiti hari ini menunjukkan masih ada jemaah yang leka dengan telefon bimbit ketika khutbah berlangsung, malah sesetengah masjid turut menggerakkan kutipan derma dalam tempoh tersebut.

Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI), perbuatan sedemikian dihukumkan makruh kerana boleh melalaikan hati daripada mendengar khutbah walaupun ia melibatkan perkara yang baik seperti bersedekah.
“Makruh hukumnya berbuat perkara yang menyebabkan terlalai hati dari mendengar ucapan khutbah hari Jumaat sekali pun berbuat perkara yang baik seperti mengutip sumbangan derma.
“Apatah lagi bermain telefon ketika itu kerana ia akan mengakibatkan terlalai hati kita daripada menghayati khutbah yang sedang disampaikan khatib,” jelas beliau melalui soal jawab di saluran WhatsApp UAI.
Tambahnya, pandangan itu turut disokong oleh kalam ulama dalam Hasyiah al-Jamal karya Syeikh Sulaiman al-Jamal yang menyebut:
“Dan dimakruhkan berjalan di antara saf kerana meminta sesuatu kepada hadirin dan mengedarkan kendi atau bekas air bagi menuangkan air minum serta mengedarkan helaian kertas hebahan dan bersedekah ke atas hadirin kerana sungguhnya ia melalaikan manusia daripada mengingat Allah dan mendengarkan khutbah.”
Berdasarkan nas ini, jelas bahawa apa sahaja tindakan yang boleh mengganggu fokus jemaah daripada mendengar khutbah, sama ada dalam bentuk hiburan, urusan duniawi atau bahkan amalan kebaikan adalah tidak digalakkan.
Ustaz Azhar menegaskan, tujuan khutbah adalah untuk memberi peringatan dan nasihat kepada umat Islam, justeru setiap jemaah perlu memberi perhatian penuh agar ia tidak menjadi sia-sia.
“Khutbah adalah satu bentuk zikir dan pengajaran. Jika jemaah sendiri lalai, sama ada kerana bermain telefon atau sibuk dengan kutipan derma, maka hilanglah maksud sebenar khutbah itu,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar umat Islam menjaga adab ketika solat Jumaat dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada khutbah kerana ia sebahagian daripada syiar Islam yang sangat dituntut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








