AGAMABERITA SEMASA

Mandi janabah boleh ditangguh, tapi lebih afdhal disegerakan – Ustaz Azhar Idrus

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa seseorang yang berada dalam keadaan berjunub tidak diwajibkan untuk segera mandi, sebaliknya boleh menangguhkan mandi janabah selagi belum menghampiri waktu solat.

Menurut beliau, kewajipan mandi hanya menjadi segera apabila waktu solat sudah sempit dan dikhuatiri tidak sempat menunaikan ibadah dalam keadaan suci.

“Sebagai contoh, jika seseorang berjunub pada jam 8 pagi, dia boleh mandi pada bila-bila masa sebelum masuk waktu Zuhur.

“Menyegerakan mandi lebih afdhal, tetapi melambatkannya tidak berdosa,” katanya dalam satu soal jawab agama melalui saluran WhatsApp beliau.

Ustaz Azhar turut memetik pandangan Imam Ibnu Rajab yang menegaskan bahawa orang junub harus melambatkan mandi selagi belum sempit waktunya untuk bersolat.

Mengulas mengenai situasi tertidur sehingga terlepas Subuh, beliau menegaskan perkara itu tidak berdosa kerana ia berlaku di luar kawalan manusia.

“Jika seseorang berniat untuk mandi ketika masuk Subuh tetapi tertidur hingga terlepas waktu, maka tidak dikira sebagai cuai.

“Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak dikira kecuaian ketika sedang tidur. Sesungguhnya kecuaian itu ialah ketika jaga,” katanya memetik hadis riwayat Ahmad.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar umat Islam tetap menyegerakan mandi janabah bagi menjaga kesucian diri, walaupun hukum membenarkan penangguhan selagi tidak menjejaskan waktu solat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button