BERITA SEMASA

Remaja maut kereta bertembung pacuan empat roda dipandu lelaki positif dadah

BESUT – Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bukit Payong, Hulu Besut di sini, semalam selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh dadah.

Mangsa berusia 16 tahun dari Kampung Bukit Payong disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam insiden kira-kira jam 12 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa berada di laluan sendiri sebelum menyedari pacuan empat roda dari arah bertentangan dipandu dalam keadaan tidak stabil.

“Kereta mangsa cuba mengelak dengan memasuki laluan bertentangan, namun kenderaan pacuan empat roda itu kemudian kembali ke laluan asal sebelum berlaku pertembungan,” katanya lagi.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat, manakala pemandu pacuan empat roda berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button