Pegawai polis, isteri maut nahas ketika pulang beraya
PEKAN – Perjalanan pulang sebuah keluarga untuk menyambut Aidiladha bertukar tragedi apabila seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan isterinya maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, empat anak pasangan berkenaan serta dua lagi individu yang menaiki sebuah lagi kenderaan turut mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa yang maut ialah Inspektor Syah Lokman Ludza Ramli, 50, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan isterinya, Nurulfiza Ardiana Amba, 46.
Menurutnya, ketika kejadian pasangan suami isteri itu bersama keluarga sedang dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Jempol, Negeri Sembilan.
“Pada masa sama, sebuah lagi kereta dinaiki pasangan suami isteri dari Gelang Patah, Johor yang dalam perjalanan ke Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu pegawai polis terbabit dipercayai terbabas ke laluan kanan sebelum bertembung dengan kereta dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, pasangan suami isteri terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, empat anak mangsa berusia antara 10 hingga 18 tahun serta pasangan suami isteri berusia 26 tahun yang menaiki sebuah lagi kereta mengalami kecederaan.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala isteri pemandu kereta terbabit kini dirawat di zon kecemasan hospital berkenaan,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








