Nepotisme itu kalau Nurul Izzah salah guna kuasa, memperkaya diri – kata Anwar
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan pelantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan serta menegaskan ia bukan sebagai berunsurkan nepotisme.
Perdana Menteri berkata, Nurul Izzah tidak menerima sebarang gaji mahupun elaun.
Malah beliau percaya anaknya tidak akan menyalahkan kedudukannya.
“Nepotisme itu kalau diletak dalam jawatan, dia menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, menambah kontrak dan mendapat upah tinggi dan ini tidak berlaku.
“Jadi, tidak ada ganjaran. Setakat ini, saya tidak tahu kalau dia (Nurul Izzah) ada pejabat nak bantu saya. Dia kena cari pejabat, kalau tak ada pejabat, tak boleh kot,” katanya memetik laporan Utusan Online ketika ditemui pemberita di ibu negara.
Di sebalik kritikan tersebut, beliau tetap menerima baik sebarang teguran terhadap pelantikan berkenaan.
“Berbeza dengan pengalaman lalu, itu soal upah dan ganjaran diberi. Dia (Nurul Izzah) datang untuk bantu, kalau dia datang bantu tak ada kedudukan, akan dipersoalkan.
“Jadi, dia bantu dan saya percaya dia akan pastikan supaya tender kontrak teratur, itu sahaja. Bukan untuk ambil projek,” katanya.
Bagaimanapun, beliau membalas semula kritikan pelantikan tersebut terhadap pihak pembangkang.
“Kalau orang itu kritik dengan ikhlas dan baik tak ada masalah, masyarakat mahu jangan ada amalan tak sihat.
“Dalam yang kritik, ada yang termasuk yang bagi kontrak ratusan juta kepada anak. Itu tak apa pula, ada gaji tak ada kerja, itu banyak juga. Penasihat dan sebagainya.. macam macam jawatan,” katanya.
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa pentadbirannya tidak akan terlibat dengan sebarang salah laku.
“Insya-Allah pentadbiran kita, walaupun ada kurang puas hati tentang keputusan kita, kita terus menentang rasuah dan tidak akan salah guna kuasa serta memperkaya mana-mana pegawai serta pihak lain.
“Tidak wajar bagi orang yang berikan ratusan juta kepada anak dan menantu. Ada yang sampai RM1 bilion masa jadi Perdana Menteri atau menteri. Sekarang nak cuba cakap pasal ketelusan,” katanya.