BERITA SEMASA

Mahkamah Tinggi batal pengecualian nikotin vape, sifatkan tindakan kerajaan tidak rasional

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan tindakan kerajaan mengecualikan cecair dan gel nikotin bagi rokok elektronik daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 sebagai tidak rasional dan dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman dikemukakan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencabar keputusan Menteri Kesihatan dan kerajaan berhubung Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023.

Dalam penghakimannya, beliau berkata keputusan mengecualikan cecair dan gel nikotin daripada kawalan Akta Racun lebih didorong faktor ekonomi susulan cadangan pengenaan duti eksais terhadap produk vape sebelum pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Mahkamah berpuas hati bahawa keputusan responden pertama (Menteri Kesihatan) dalam membuat pengecualian yang dicabar didorong terutamanya oleh alasan ekonomi sebelum pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan ia adalah satu keputusan yang tidak rasional.

“Responden pertama melanggar kewajipan untuk melindungi kesihatan awam, gagal bertindak mengikut komitmen antarabangsa Malaysia di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) untuk mencegah dan mengurangkan ketagihan nikotin apabila beliau membuat perintah yang dicabar dan memasukkan pengecualian tersebut,” katanya ketika membacakan penghakiman menerusi Zoom, hari ini.

Mahkamah turut mendapati Menteri Kesihatan ketika itu gagal menjalankan rundingan yang ‘bermakna dan berkesan’ dengan Lembaga Racun sebelum pengecualian berkenaan dibuat.

Penggunaan cecair vape tanpa kawalan berisiko terhadap kesihatan terutama buat golongan muda. – Gambar hiasan

Menurut hakim, mesyuarat Lembaga Racun pada 29 Mac 2023 sudah menolak cadangan pengecualian itu, namun tiada perbincangan lanjut dilakukan sebelum perintah terbabit tetap dilaksanakan dua hari kemudian.

Mahkamah juga menerima hujahan bahawa wujud kelompangan undang-undang dalam mengawal selia produk vape dan rokok elektronik mengandungi nikotin sebelum Akta 852 mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tidak perlu meneliti isu keperlembagaan Seksyen 6 Akta Racun 1952 kerana dua isu utama membabitkan ketidakrasionalan keputusan dan kegagalan rundingan sudah memadai untuk melupuskan permohonan itu.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan semakan kehakiman difailkan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM), Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of the Children (VOC), tanpa sebarang perintah kos atas alasan kepentingan awam.

Peguam K Shanmuga mewakili ketiga-tiga NGO berkenaan, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan mewakili Menteri Kesihatan dan kerajaan selaku responden.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button