BERITA SEMASA

PEMADAM gesa larangan penuh vape, putuskan rantaian dadah sintetik

PUTRAJAYA – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan menggesa kerajaan mengharamkan sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape termasuk penjualan dalam talian bagi memutuskan rantaian penularan dadah sintetik di negara ini.

Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah drastik itu wajar dilaksanakan memandangkan vape kini digunakan sebagai medium penyaluran bahan terlarang, termasuk dadah sintetik yang mudah diperoleh melalui pesanan dalam talian.

“Data Pusat Data Sains Kementerian Dalam Negeri jelas menunjukkan banyak jenayah seperti mencuri, membunuh dan merogol berpunca daripada dadah, termasuk yang disalurkan melalui vape.

“Lebih membimbangkan, generasi muda menganggap dadah sintetik dalam vape tidak berbahaya dan mudah diperoleh,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Dwitahunan PEMADAM Kebangsaan ke-46 semalam.

Beliau turut mendedahkan, hasil analisis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi lain mendapati golongan berumur 15 hingga 39 tahun kini menjadi sasaran utama sindiket dadah.

“Pola yang kita lihat mengejutkan kerana ramai daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya pendidikan menengah, malah ada yang bergelar graduan diploma, sarjana dan juga Doktor Falsafah (PhD). Golongan ini adalah aset produktif negara,” katanya lagi.

Shamsul berkata PEMADAM yakin pengharaman menyeluruh vape akan membantu usaha kerajaan membanteras penagihan dadah dalam kalangan masyarakat, khususnya anak muda.

“PEMADAM juga akan melaksanakan pendekatan baharu berasaskan teknologi digital dan media sosial dengan melibatkan pempengaruh bagi menyampaikan mesej bahaya dadah secara lebih bersasar mengikut kadar penagihan di setiap negeri.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada ceramah umum kerana golongan sasaran jarang hadir. Pendekatan digital ini lebih sesuai dengan trend semasa dan mampu memberi kesan langsung,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, PEMADAM akan melakukan penjenamaan semula termasuk menambah jawatan Naib Presiden kepada dua individu bagi membawa masuk golongan profesional muda serta menukar nama rasmi kepada Majlis PEMADAM Kebangsaan, Majlis PEMADAM Negeri dan Majlis PEMADAM Daerah agar lebih relevan dengan peranan semasa.

Shamsul turut menegaskan PEMADAM perlu menjadi milik semua lapisan masyarakat dan menjadi rakan strategik kepada agensi penguatkuasaan dalam menjadikan dadah sebagai musuh nombor satu negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button