BERITA SEMASA

Perlis haramkan penjualan vape mulai 1 Ogos

KANGAR – Penjualan vape atau rokok elektronik diharamkan sepenuhnya di negeri Perlis mulai 1 Ogos depan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, penetapan tersebut dibuat berdasarkan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan penggunaan vape pada tahun 2022.

Langkah itu juga diambil berikutan penggunaan vape kini dilihat sebagai ancaman baharu khususnya buat golongan muda di negeri berkenaan.

“Walaupun kita tak mampu kekang penggunaan vape sepenuhnya, namun sekurangnya kita ada tindakan untuk selamatkan anak muda,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Dalam tempoh enam bulan ini, terdapat dua kes melibatkan penggunaan vape dalam kalangan pelajar dilaporkan di negeri ini.

Pada November tahun lepas, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolah dipercayai akibat khayal selepas menghisap rokok elektronik tersebut.

Terbaharu pada April lalu, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di negeri ini turut diserang sawan selepas dipercayai menghisap vape di tandas sekolah terlibat.

Sebelum ini, Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.

Melaka pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan penjualan vape di kawasan tertentu manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.

Mohd. Shukri turut mengingatkan semua peniaga dan pengusaha vape di Perlis supaya bersiap sedia mencari perniagaan baharu selepas ini.

“Ini berikutan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tidak akan lagi mengeluarkan lesen perniagaan bagi penjualan vape selepas 1 Ogos ini kepada pihak terlibat. Dianggarkan terdapat kurang dari 50 pengusaha vape yang beroperasi di negeri ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button