MCMC giat perkasa literasi digital, lindungi keluarga daripada ancaman siber
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiat usaha memperkasakan literasi digital menerusi Kempen Internet Selamat 2026 yang memberi fokus kepada perlindungan institusi keluarga serta pencegahan jenayah siber.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu merupakan antara hala tuju strategik agensi berkenaan bagi tahun ini dalam mendepani peningkatan ancaman penipuan dan risiko keselamatan dalam talian.
Menurutnya, kempen berkenaan memberi tumpuan khusus terhadap program libat urus bersama komuniti akar umbi dan golongan warga emas bagi membendung jenayah penipuan kewangan dalam talian atau scam.
“Selain itu, kempen ini turut memfokuskan usaha meningkatkan kesedaran dan kemahiran ibu bapa dalam menetapkan kawalan ibu bapa (parental control) terhadap penggunaan peranti oleh anak-anak,” katanya.
Kelainan kempen kali ini turut diperlihatkan menerusi pendekatan “Youth-to-Community” atau Belia kepada Komuniti yang melibatkan penglibatan aktif golongan muda sebagai agen advokasi digital.
Barisan pemimpin pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah menamatkan latihan Training of Trainers (ToT) digerakkan sebagai fasilitator bagi membimbing komuniti setempat secara langsung.
Pendekatan itu dilihat mampu merapatkan jurang generasi dalam aspek literasi digital selain memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman keselamatan siber.
Setakat ini, MCMC telah menyantuni 438 komuniti di seluruh negara termasuk 25 lokasi di Melaka menerusi pelaksanaan kempen tersebut.
Bagi memperluaskan impak inisiatif berkenaan, MCMC menyasarkan pelaksanaan 200 kempen bersasar di setiap negeri menjelang penghujung tahun 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








