Aeronas raih tempahan pesawat ringan bernilai RM357 juta dari Hong Kong
SERDANG – Aeronas Aerocraft Sdn Bhd, pengeluar pesawat ringan Malaysia, menerima tempahan 50 unit pesawat bernilai AS$85 juta (RM357 juta) daripada syarikat Hong Kong, Consortium Wholechoice.
Pengarah Urusan dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra berkata, pembelian bagi 30 buah pesawat model MYPX5 MARK I dan MYPX5 MARK II berkapasiti enam tempat duduk telah pun disahkan.
“Sementara itu, tambahan 20 unit pesawat lagi dijangka dimuktamadkan menjelang September tahun ini.
“Penghantaran pertama sebanyak 15 pesawat dijadualkan bermula secara berperingkat pada suku pertama dan suku kedua 2027 bagi menyokong pembangunan operasi sekolah penerbangan dan pajakan pesawat Consortium Wholechoice di rantau Asia,” katanya pada sidang media dan majlis pertukaran dokumen Aeronas hari ini.
Melalui perjanjian tersebut, Wholechoice turut dilantik sebagai pengedar serantau pertama bagi pesawat keluaran Aeronas.
Langkah ini sekali gus membuka ruang buat syarikat Malaysia itu untuk meluaskan sayap ke pasaran lain di rantau Asia Pasifik.
Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Aeronas, Suhaimi Halim berkata, bagi meningkatkan jumlah tempahan disahkan, syarikat itu sedang berunding dengan peniaga pesawat dan bank pelaburan dari Singapura, Hong Kong, serta China.
“Mereka akan memperkenalkan program pajakan pesawat masing-masing dan menawarkannya kepada pelanggan, yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat penerbangan serta operator pesawat di luar Malaysia,” katanya sambil memaklumkan 90 peratus daripada nilai perolehan kontrak daripada pelanggan luar negara.
Beliau berkata Aeronas turut menyasarkan untuk mengembangkan operasinya di dalam negara menerusi pembinaan sebuah kilang pembuatan pesawat berskala penuh yang mampu menghasilkan sehingga 180 pesawat setahun.
Menurutnya syarikat itu telah menerima beberapa tawaran tanah daripada kerajaan negeri, termasuk Sabah, Selangor, Kedah dan Pahang bagi memudahkan pembangunan kemudahan pembuatan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
