BERITA SEMASA

Muzium tunjang utama pembinaan negara bangsa yang kukuh – Aaron Ago Dagang

JOHOR BAHRU – Muzium kekal relevan sebagai medium penting untuk mendidik rakyat tentang sejarah demi membentuk asas negara bangsa yang teguh.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata tahun ini merupakan satu peristiwa yang amat signifikan kerana genap 30 tahun penganjuran sambutan Hari Muzium Antarabangsa di Malaysia sejak mula diperkenalkan pada tahun 1997.

“Tiga dekad perjalanan ini membuktikan bahawa institusi muzium kekal relevan sebagai living institution, knowledge hub dan custodian of collective memory.

“Selain itu, ia juga merupakan platform yang membentuk kefahaman rakyat terhadap sejarah yang menjadi asas kepada sebuah negara bangsa yang kukuh,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana di sini hari ini.

Menurut Aaron, tema yang diangkat oleh Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) pada tahun ini adalah Museums Uniting a Divided World atau Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah.

Katanya, pemilihan tema ini amat tepat dalam mendepani cabaran global hari ini, termasuk polarisasi sosial, ketegangan geopolitik, penyebaran maklumat yang memecahbelahkan, serta jurang komunikasi antara pelbagai lapisan masyarakat.

“Muzium berperanan sebagai bridge-builder, social connector dan platform for intercultural dialogue yang membantu masyarakat memahami kepelbagaian, menghormati perbezaan serta membina rasa kebersamaan berasaskan sejarah serta warisan yang dikongsi bersama.

“Peranan ini turut selari dengan aspirasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) menerusi Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu–Transforming Our World: The 2030 Agenda for Sustainable Development,” katanya.

Justeru, beliau menjelaskan, tema tahun ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan agenda Pembinaan Negara Bangsa yang menjadi antara fokus utama negara khususnya Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya, sebuah negara yang bersatu tidak boleh dibina hanya melalui pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata.

“Ia perlu dibina atas asas kefahaman sejarah, penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan penghayatan identiti nasional yang dikongsi bersama.

“Di sinilah peranan muzium menjadi semakin penting. Muzium berfungsi sebagai nation-building institution yang menghimpunkan naratif sejarah daripada pelbagai kaum, etnik dan wilayah untuk membentuk satu shared national narrative,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor atas penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button