BERITA SEMASA

Alumni USIM sertai misi kemanusiaan antarabangsa GSF jadi inspirasi

NILAI – Keberanian dua alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai misi bantuan kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla (GSF) membuktikan graduan institusi itu bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah prihatin terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Dua alumni terbabit ialah graduan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) tahun 2023, Muhammad Zaid Abdul Karim dan Muhammad Muaz Zainal Abiddin.

Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA) USIM, Mohamad Hazrul Fareeza Harun berkata, kedua-duanya memikul tanggungjawab besar dalam misi tersebut apabila Muhammad Zaid berperanan sebagai Peserta Sukarelawan Malaysia, manakala Muhammad Muaz menganggotai Pasukan Sokongan Malaysia.

Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA) USIM Mohamad Hazrul Fareeza Harun

Menurut beliau, semangat dan pengorbanan ditunjukkan kedua-dua alumni itu wajar dijadikan contoh kepada generasi muda lain.

“Semangat alumni USIM ini perlu dicontohi anak muda lain, lebih-lebih lagi apabila mereka sanggup berjauhan daripada keluarga dan isteri tercinta demi menunjukkan kecintaan terhadap Palestin serta memastikan isu itu terus mendapat perhatian dunia,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Global Sumud Flotilla merupakan inisiatif pelbagai organisasi antarabangsa bagi menyalurkan bantuan kecemasan selain meningkatkan kesedaran masyarakat global mengenai krisis kemanusiaan, khususnya di wilayah konflik.

Penyertaan kedua-dua alumni itu turut mendapat sokongan penuh warga universiti yang menzahirkan kata-kata semangat seperti “Selamat Berjuang, Semoga Berjaya” serta “Siru ‘ala barakatillah” yang membawa maksud berjalanlah di bawah keberkatan Allah.

Mohamad Hazrul berkata, keberanian Muhammad Zaid dan Muhammad Muaz memperlihatkan graduan USIM bersedia menyumbang tenaga di peringkat antarabangsa demi kelestarian ummah.

Katanya, tindakan itu juga diharap mampu menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk lebih aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan selaras dengan moto universiti yang menekankan integrasi ilmu naqli dan aqli.

Dalam pada itu, pihak universiti turut menitipkan doa agar kedua-duanya sentiasa berada dalam keadaan selamat sepanjang melaksanakan misi berkenaan dan kembali ke tanah air dengan membawa pengalaman berharga serta kejayaan menyempurnakan amanah kemanusiaan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button