BERITA SEMASA

18 rakyat Malaysia ditahan tentera Israel dalam misi GSF 2.0

Misi GSF 2.0: 15 kapal kemanusiaan dipintas Israel termasuk yang dinaiki 18 rakyat Malaysia

SEPANG – Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia mengesahkan 18 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa hari ini, termasuk kapal yang dinaiki 18 rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Kapal tersebut disahkan mula dihampiri secara agresif oleh tentera rejim Zionis dalam insiden yang berlaku antara pukul 3.00 petang hingga 8.00 malam.

Beliau memaklumkan, Ketika kejadian flotilla berkenaan sedang berada di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi undang-undang maritim, dengan jarak kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza.

“Insiden pintasan berlaku kira-kira 241 batu nautika dari pantai Gaza iaitu di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah aktivis Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Amanda, Mohamad Muhsin Zaidi (Isobella), dan Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman (Josef).

Turut ditahan ialah S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar, dan Dr. Syakirin Mohamed Senin yang berada di atas kapal Ferluto.

Dua lagi rakyat Malaysia iaitu Mohammad Syazly Mohammad Shees serta Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari yang menaiki kapal Cactus turut dipintas dan ditahan.

Sementara itu, baki mangsa tahanan yang lain melibatkan Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari dari kapal Bianca Ita, Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim kapal Gotico, serta Norazman Ishak kapal Abodes.

Turut kapal Marilyn yang melibatkan dua rakyat Malaysia menjadi mangsa tahanan, tetapi identiti mereka masih belum diproses.

Turut dilaporkan ditahan adalah tiga lagi aktivis iaitu Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Bin Mohd Isa, dan Osman bin Zolkifli yang berada di atas kapal Themis.

Menurut Sani, Israel menggunakan pendekatan provokatif dengan menggerakkan bot laju ke arah flotila.

Beliau berkata, kapal dipintas dan diceroboh melalui gangguan secara langsung, termasuk penggunaan ‘jammer’ serta kerosakan terhadap sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, hubungan komunikasi dengan peserta yang ditahan turut terputus, selepas sistem CCTV dipadam dan dirosakkan menggunakan kekerasan.

“Untuk kali ini kita lihat mereka sangat terdesak. Buat pertama kali dalam Sumud Nusantara dan juga GSF, kita dipintas pada waktu siang.

“Kita ada membuat jangkaan bahawa perkara ini akan berlaku di titik berdekatan perairan Greece.

“Kali ini jangkaan kita hampir tepat, cuma bezanya dari segi waktu kerana kita menjangkakan ia berlaku pada waktu malam, namun mereka hadir dengan banyak bot,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button