Tengku Hassanal tegur wakil rakyat ‘bermusim’ menjelang pilihan raya
KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengingatkan semua wakil rakyat di negeri itu supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berintegriti tanpa menunggu musim pilihan raya untuk turun padang.
Baginda bertitah, setiap wakil rakyat perlu lebih proaktif dalam menyelesaikan isu rakyat dan tidak membiarkan perkara kecil berpanjangan sehingga memerlukan campur tangan pihak istana.
“Kalau perlu turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil dipilih oleh rakyat. Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya.
“Bekerja bersungguh-sungguh. Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) menjelang pilihan raya umum akan datang kerana ia boleh menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“Saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang,” titah baginda lagi.
Baginda turut bertitah, sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat sama ada di atas tanah kerajaan atau persendirian perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.
“Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri,” titah baginda lagi.
Menyentuh isu krisis bekalan global, baginda mahu Pahang tidak hanya menjadi pemerhati, sebaliknya bertindak sebagai negeri yang bersedia dan berdaya tahan dengan memperkukuh pelbagai sektor ekonomi agar tidak terlalu bergantung kepada satu sumber dominan semata-mata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








