Ugut adik perempuan dengan parang, lelaki ditahan polis
NIAH – Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai mengugut mahu membunuh adik perempuannya menggunakan parang di Ladang Suai 2, Jalan BLD, Ulu Suai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asistan Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 1.44 petang.
Mangsa yang berusia 35 tahun berbuat demikian selepas menerima ancaman daripada abang kandungnya yang berusia 37 tahun di rumahnya.
“Susulan laporan diterima, polis menjalankan operasi mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian.
“Suspek berjaya diberkas dalam satu serbuan di sebuah pondok kebun berhampiran Ladang Sawit Wilmar Suai 1 hasil risikan dan maklumat yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Farhan, pemeriksaan lanjut di lokasi tangkapan membawa kepada penemuan beberapa barangan berbahaya dipercayai milik suspek.
“Polis merampas sebilah parang serta selaras senapang patah buatan sendiri bersama enam butir peluru,” katanya.
Suspek kini direman empat hari sehingga 27 April bagi membantu siasatan lanjut dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa kebenaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








